Minggu, 15 November 2009

Berita ScM: Harian Metro Malaysia


si

Ekspresi Alam bawah sedar

Oleh TUAN ASRI TUAN HUSSEIN
asri@hmetro.com.my


PENULIS dihipnosis oleh Pak Rahmat dan diberitahu tidak akan mampu bangun daripada kerusi yang diduduki. Kata Pak Rahmat, semakin penulis berusaha untuk bangun, badan menjadi semakin berat.

SITUASI 1:

PENULIS dihipnosis oleh Pak Rahmat dan diberitahu tidak akan mampu bangun daripada kerusi yang diduduki. Kata Pak Rahmat, semakin penulis berusaha untuk bangun, badan menjadi semakin berat.



Memang itu yang penulis rasakan. Biarpun beberapa kali mencuba, namun tetap gagal. Semakin kuat dicuba, badan semakin berat. Penulis bukan tidak sedarkan diri, sebaliknya mampu turut ketawa selepas diketawakan peserta lain kerana gagal bangun daripada kerusi.

SITUASI 2:

SEPASANG suami isteri bertemu Pak Rahmat untuk mengubati penyakit saka dialami si isteri (Puan X), malah mereka juga mengesyaki dia disihir. Pertemuan itu kali kedua selepas pertemuan pertama tiga hari sebelumnya.

Untuk merawat Puan X, Pak Rahmat menggunakan peserta kursus, Norashikin Mohd Amin, 22, atau Shikin sebagai perantara kerana dia perlu bersentuhan dengan Puan X.

Pak Rahmat menekap tangannya ke tangan Shikin. Seterusnya Shikin disuruh menggosok perut Puan X dan Shikin berasa tangannya kebas dan menyucuk-nyucuk.

Pak Rahmat menyuruh Shikin mengibas tangan seperti membuang rasa kebas itu dan kembali menggosok perut puan X. Proses itu berulang beberapa kali sehingga Shikin berkata rasa kebas di tangannya hilang.

SITUASI 3:

SETERUSNYA Pak Rahmat menghipnosis Shikin dan menyuruh Shikin pergi ke kampung Puan X untuk bertemu seorang wanita tua yang dikatakan pemilik saka di dalam badan Puan X.

Selepas bertemu, Pak Rahmat menyuruh Shikin mengarah perempuan tua itu keluar dari badan Puan X dan perempuan tua itu akur. Menariknya, selepas Shikin disedarkan, air matanya mengalir.

Apabila ditanya, Shikin tidak pasti mengapa dia menangis, cuma katanya, dia sedih. Penulis bertanya, apakah yang dirasakannya ketika dia dihipnosis dan berjumpa perempuan itu.

Kata Shikin, dia seperti ada di satu tempat lain dan mendengar segala arahan Pak Rahmat seperti suara yang sayup-sayup dan bergema, manakala wajah perempuan tua yang ditemuinya itu hodoh.

TIGA situasi di atas penulis lihat dan alami ketika membuat liputan Kursus Pengurusan Minda Bawah Sedar (Subconcious Mind Managemet — ScM) yang dikelolakan oleh Rachmat Setiawan atau lebih mesra dengan panggilan Pak Rahmat di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Siapa Pak Rahmat

Berusia 50-an dan berasal dari Bandung, Indonesia, beliau ahli terapi dan jurulatih ScM dengan pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang itu.

Bermula dengan usaha mencari jawapan kepada pengalaman diri sendiri yang sukar difahaminya, Pak Rahmat mula meneroka dan belajar mengenai alam minda bawah sedar secara serius sejak berusia 30 tahun.

Pada 1999 beliau mula berkongsi kepakarannya dengan memberi kursus kepada orang ramai di Bandung sebelum memperluaskannya di Malaysia, bermula 2002.

“Saya menggunakan pendekatan dan penjelasan saintifik mengenai kelebihan atau manfaat minda bawah sedar kepada orang ramai, selain mengaitkannya dengan ajaran Islam. Mungkin ini bezanya pendekatan saya berbanding orang lain,” katanya.

Apa Minda Bawah Sedar

Menurut Pak Rahmat, minda bawah sedar adalah pancaindera keenam yang ada pada setiap manusia dan sangat banyak kegunaannya, namun tidak ramai mampu meneroka serta menggunakannya.

Beliau berkata, dalam kehidupan normal, seseorang itu hanya menggunakan 12 peratus daripada kuasa mindanya manakala 88 peratus lagi yang ada pada peringkat bawah sedar atau disebut juga alam alpha, tidak digunakan.

“Ada pelbagai cara untuk seseorang itu masuk ke minda bawah sedar. Sebahagian kecil dianugerahi Tuhan untuk memilikinya secara semula jadi (gifted) manakala ramai lagi yang perlu berusaha.

“Usaha itu pula pelbagai. Ada yang melakukan amalan dan bacaan spiritual dan ada juga dengan jalan pintas menggunakan kuasa makhluk halus atau jin.

“Cara yang saya gunakan adalah bersih dan selamat iaitu kaedah hipnosis. Ini satu kaedah saintifik dan boleh dilakukan sesiapa saja yang mempelajarinya.

“Di Barat, pengkajian mengenai hipnosis dilakukan sejak 1800 lagi dan dalam Islam pun ilmu mengenai minda bawah sedar memang ada, namun ia mungkin dikenali dengan terma lain serta kaedah menerokainya juga mungkin berbeza,” katanya.

Kegunaan minda bawah sedar

Supaya lebih mudah difahami, Pak Rahmat menyamakan alam pemikiran manusia dengan gelombang (frekuensi) radio atau walkie talkie.

Katanya, untuk memasuki minda bawah sedar atau ke alam alpha, kita perlu menukar gelombang pemikiran kita daripada gelombang sedia ada ke gelombang lain.

“Apabila sudah menghipnosis diri kita untuk ada di alam alpha, kita boleh melakukan apa saja yang kita mahu. Sebagai contoh, jika kita kuat makan hingga badan gemuk, ketika di alam alpha, katakan pada diri kita: ‘Selepas ini apabila aku sedar, aku hanya akan makan makanan yang perlu dan sihat’.

“‘Perut aku tidak akan dapat menerima makanan jika aku kenyang dan jika makanan itu banyak kolesterol atau lain-lain unsur tidak sihat’. Kesannya, selepas kita kembali ke alam biasa tubuh kita akan melaksanakan segala diarahkan ketika di alam alpha.

“Jadi, insya-Allah hasrat kita untuk menjadi kurus dan lebih sihat akan tercapai. Begitu juga jika kita ingin berhenti merokok, menjadikan diri lebih berkeyakinan, berani, berfikiran positif dan mengawal masalah atau tekanan dalam kehidupan seharian,” katanya.

Pak Rahmat berkata, selepas seseorang itu mahir dengan kaedah hipnosis untuk masuk ke alam bawah sedar dengan mudah, peringkat seterusnya ialah dia mampu menghipnosis orang lain supaya turut ada di alam bawah sedar.

“Mengambil contoh gelombang radio tadi, apabila saya menghipnosis orang lain, ia bermaksud saya cuba menyamakan gelombang alam bawah sedar saya dengan gelombang orang berkenaan.

“Apabila berkongsi gelombang sama, kami dapat berhubungan. Dengan itu saya tahu keadaan dirinya (jika dia berpenyakit atau bermasalah) dan mampu mengawal atau mengatasi masalahnya dengan kekuatan minda bawah sedar saya,” katanya.

Pak Rahmat berkata, kemahiran itu berguna kepada seseorang untuk urusan kerjaya mereka, contohnya kepada pengamal perubatan, ahli motivasi, kaunselor, pensyarah, guru dan juga ketua jabatan dalam usaha memotivasikan kakitangannya.

“Sebagai contoh, anggota polis boleh menggunakan kaedah ini jika mahu menyoal siasat penjenayah dan kaunselor boleh menjalankan tugas mereka dengan lebih cemerlang.

“Malah, di Barat kaedah hipnosis ini turut digunakan sebagai satu kaedah siasatan, terutama dalam kes forensik,” katanya yang turut terbabit dalam merawat sekumpulan pelajar sekolah mengalami histeria di Tanjung Lumpur, Pahang, awal tahun ini.

Salah faham dan salah guna

Pak Rahmat berkata, di kalangan masyarakat Melayu, ramai salah faham dengan menyamakan hipnosis dengan pukau dan perkataan pukau itu pula lebih merujuk kepada elemen negatif.

“Hakikatnya, hipnosis dan pukau berbeza. Orang yang dihipnosis masih sedar, sedangkan orang yang dipukau 100 peratus tidak sedar dan tidak tahu apa yang dia lakukan.

“Anda (penulis) sendiri tadi saya hipnosis dan anda memang tidak mampu bangun daripada kerusi tapi bukankah anda masih sedar, malah mampu bergelak ketawa dengan saya?” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui kemahiran memasuki minda bawah sedar ini boleh disalah guna untuk tujuan jahat, namun menegaskan itu tidak bermakna ia tidak sepatutnya dipelajari atau diajar kepada orang lain.

“Kita perlu rasional. Hakikatnya, semua benda dalam dunia ini boleh digunakan untuk tujuan baik atau jahat. Contoh mudahnya, pisau boleh sekadar untuk memotong sayur dan boleh juga menjadi senjata untuk membunuh.

“Begitu juga barangan lain seperti komputer dan kereta. Jadi, jika ia disalahgunakan, jangan salahkan kemahiran atau ilmu ini tetapi salahkan individu yang menyalahgunakannya,” katanya.

Menurut Pak Rahmat, sebagai langkah berjaga-jaga apa yang mampu dilakukannya ialah menapis atau bersifat selektif dalam mengambil peserta kursus.

“Insya-Allah dengan sedikit kelebihan yang ada, saya mampu menilai diri seseorang itu sama ada dia mahu belajar dengan saya untuk tujuan baik atau sebaliknya. Jika saya rasa dia ada tujuan jahat atau tidak sesuai, saya tidak akan menerimanya.

“Selain itu, siapa yang mengikuti kursus saya akan diajar cara mengelak dihipnosis jika dia enggan dan ini sekali gus dapat menyelamatkan dirinya daripada menjadi mangsa perbuatan jahat,” katanya.

Beliau berkata, sesi pengenalan dan kursus ScM untuk peringkat asas hingga maju diadakannya dari semasa ke semasa di Kuala Lumpur sehingga Mac 2010 dan orang ramai yang berminat menyertainya atau ingin maklumat lanjut boleh menghubungi talian 03-21696221 atau laman web http://www. alamalpha.com.my.


Norashikin Mohd Amin, 22:
(Eksekutif Am sebuah firma swasta)


“SAYA berminat mengikuti kursus ini kerana saya selalu mengalami stres atau tekanan akibat beban kerja dan pergaulan. Jadi, saya berharap saya mampu mengatasi masalah ini dengan menggunakan ScM.

Selain itu, saya selalu berasa seperti ternampak kelibat makhluk halus. Insiden ini mengganggu hidup saya. Saya tak tahu sama ada ini satu anugerah atau sekadar gangguan syaitan.

Dengan mengikuti kursus ini banyak perkara baru yang saya belajar dan insya-Allah jika saya mampu menggunakan minda bawah sedar saya, kelibat makhluk halus yang saya nampak itu tidak akan mengganggu hidup saya lagi.”


Zakaria Yasin, 43:
(Pengarah Urusan sebuah syarikat perunding latihan)


“SEBAGAI graduan bidang psikologi, saya memang tahu mengenai kaedah hipnosis dan minda bawah sedar serta kegunaannya. Namun ketika di universiti semuanya saya belajar setakat teori.

Kini, memandangkan saya bekerja dalam bidang penyediaan latihan dan mengendalikan kursus motivasi, saya percaya ilmu ScM sungguh bermanfaat untuk kerjaya saya. Itu sebab utama saya mengikuti kursus ini.

Saya juga ingin merasai pengalaman dihipnosis dan yang paling istimewa mengenai kursus Pak Rahmat ialah ia banyak dikaitkan dengan ajaran Islam. Jadi, doa tertentu juga diajar bagi mempermudahkan lagi usaha kita untuk menguasai minda bawah sedar kita.”


Tidak ada komentar: